Rabu, 12 Disember 2012

ILMU BEKAM JUGA FARDHU KIFAYAH



"Berubatlah wahai hamba-hamba Allah SWT, sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu penyakit kecuali menciptakan ubat baginya... diketahui oleh yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh yang tidak mengetahuinya." (Disahihkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim)

 Kifayah dari segi bahasa bermaksud 'mencukupi' dan 'memadai'. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran, ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar ma’ruf nahi mungkar.

 Imam an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam.
Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.
Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.

'Janganlah merasa pelik daripada kata-kata kami bahawa ilmu perubatan dan ilmu perakaunan adalah termasuk dalam fardhu kifayah. Sesungguhnya ilmu tentang prinsip-prinsip perindustrian juga adalah termasuk fardhu kifayah seperti ilmu perladangan, tekstil dan pengurusan. Bahkan ilmu bekam dan menjahit juga adalah ilmu fardhu kifayah. Sekiranya suatu negeri tidak mempunyai tukang bekam, maka akan cepatlah kehancuran negeri tersebut dan mereka akan menghadapi kesusahan kerana mereka akan berhadapan dengan kehancuran. Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan penyakit juga telah menurunkan ubatnya, menunjukkan cara penggunaan ubat tersebut dan menyediakan jalan-jalan untuk memperolihi ubat tersebut. Oleh itu tidak boleh menyerahkan diri kepada kerosakan dengan mengaibkan ilmu tersebut.'
'Manakala ilmu yang dianggap sebagai suatu kelebihan dan bukan kefarduhan adalah seperti mendalami perkara-perkara yang amat halus lagi rumit tentang ilmu matematik, hakikat-hakikat perubatan dan sebagainya yang tidak terlalu diperlukan. Tetapi ia memberi faedah untuk menambahkan kekuatan daripada kadar yang diperlukan.
'Ilmu yang dibenci ialah seperti ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu guna-guna.